KENALI MAYA
Sunday, 17 July 2016 ✿ 06:05 ✿ 0 MAYA CEMERLANG
Pengasasnya ialah Allahyarham Tuan Guru Hj Yaakub b. Salleh yang sebelum ini membuka pusat pengajian secara pondok semenjak tahun 30 an. Diasaskan pada tahun 1938 dengan binaan sebuah bangunan bertiangkan batang nibung, beratapkan nipah dan berdindingkan buluh di atas tanah seluas 1 ekar 977 depa.
Pada tahun 1943 Madrasah Yaakubiah ini telah diambil alih oleh Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan diiktiraf sebagai sebuah sekolah agama di bawah pentadbirannya. Pihak Majlis Agama Islam telah menghantar Ustaz Hj. Hashim b. Idris sebagai mudir bagi menggantikan Tuan Haji Zakaria b. Yaakub.
Pada tahun 1953 hingga tahun 1958 sekolah ini telah bertambah maju dengan mendapat sokongan dan kerjasama daripada bekas pelajar termasuklah Ustaz Haji Mahmood b. Abd Rahman (YDP PIBG sekarang) dan Ustaz Haji Husin b. Abd Rahman (Imam Mukim Nipah) yang telah membantu secara sukarela bagi memajukan lagi sekolah.
Tahun 1964 adalah tahun yang paling gemilang bagi Madrasah Yakubiah kerana mempunyai murid seramai 400 orang dan guru seramai 13 orang.
Pada tahun 1966 pihak ahli jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah telah berikhtiar bagi mendapatkan derma daripada para dermawan. Di samping itu juga, MAIK dan kerajaan negeri Kelantan telah menyumbangkan bantuan sehingga dapat mendirikan dua buah bangunan batu bercampur kayu di atas tapak yang telah diwakafkan oleh Almarhum Tuan Guru Hj Yaakub.
Manakala pada tahun 1970, sekolah telah menghadapi kemerosotan daripada segi bilangan pelajar iaitu seramai 200 orang sahaja dan guru seramai 7 orang. MAIK mula memperkenalkan sistem baru persekolahan dengan membuka tingkatan peralihan, satu, dua dan tiga.
Pada tahun 1977 hingga 1979, gerakan kesedaran memasuki sekolah agama telah dilancarkan. Gerakan tersebut telah diketuai oleh Ustaz Haji Mahmood b. Abd. Rahman dan dibantu oleh YB Dato' Hj. Omar b. Mohamed (ADUN Perupok sekarang). Sasaran penerangan ditumpukan di masjid dan surau di seluruh daerah Perupok, Repek, Gunung dan Telong. Sambutan terhadap gerakan ini amat menggalakkan, bilangan murid mula bertambah kepada 212 orang dan guru menjadi seramai 10 orang dengan 10 buah kelas.
Pada tahun 1983 Ahli Jawatankuasa Kemajuan Sekolah telah mendapat derma daripada kerajaan negeri Kelantan dan juga sumbangan orang ramai sehingga terbina lima buah bangunan termasuk asrama dan kantin serta tiga bidang tanah seluas 1 ekar 977 depa.
Perkembangan yang menarik dalam sejarah sekolah ialah apabila kerajaan negeri Kelantan telah membina sebuah lagi bangunan baru di atas tanah seluas 6 ekar di kampung Padang Nipah dengan menelan belanja sebanyak RM473.000.00 bagi menempatkan pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Manakala di bangunan lama pula ditempatkan pelajar tingkatan peralihan, 1 dan 2. Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan pada 27 April 1986.
Tingkatan enam atas (STPM) mula dibuka pada hasil inisiatif Tuan Hj. Mahmood bin Abd. Rahman pada tahun 1993.
Pada tahun 2006 nama sekolah "Madrasah Yaakubiah" telah ditukarkan oleh pihak YIK menjadi Maahad al-Yaakubiah. Akronim yang digunakan oleh pihak Maahad ialah MAYA.
Pada tahun 2007, pihak YIK telah menghidupkan kembali tapak asal sekolah dengan mengadakan dua kelas tahfiz yang dikenali dengan Maahad Tahfiz Sains Cawangan Bachok.
Pada 2008, seramai 54 pelajar lagi ditempatkan di sini yang menjadikan sebanyak 4 kelas.
Pada tahun 2010, pelajar MTS tingkatan 3 telah dipindahkan ke Berangan dan seramai 51 pelajar baru ditempatkan oleh YIK. MTS ini menumpang bumbung Maahad Yaakubiah dan ditadbir oleh Pengetua yang sama.
Pada bulan November 2009, YDP AJK Penaja PIBG MTS, Tuan Hj Ibrahim b. Mahmood dan Timbalannya Hj. Salehuddin b. telah berusaha membina dua blok asrama baru yang boleh menempatkan 100 pelajar yang menelan belanja sebanyak RM210,000.00.
Jumlah pelajar terkini Tahun 2010 ialah seramai 1,098 orang. Pelajar lelaki seramai 619 orang dan perempuan pula ialah 479 orang. Bilangan guru pula ialah 55 orang guru YIK (21 L + 34 P), 13 orang guru Kementerian Pelajaran (10 L + 03 P) dan 1 orang tajaan Rabitah al-Alami al-Islami, Arab Saudi.
Hasil kegigihan guru dan kesungguhan pelajar maka keputusan peperiksaan 2009 telah mencatatkan peningkatan daripada segi kecemerlangan pelajar dan gred purata sekolah juga semakin baik dan memberangsangkan. Perkembangan ini diharapkan menjadi satu penanda aras ke arah kemajuan MAYA sebagai sebuah sekolah cemerlang tahun 2020 nanti.